Pages

23 Buah Lagi SBT

TPM umum 23 lagi SBT

Oleh saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my

LIMBANG 17 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan senarai 23 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) bagi Kohort Dua menjadikan jumlah keseluruhannya 43 buah setakat ini.

Dengan itu, satu daripada empat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang digariskan Kementerian Pelajaran iaitu memiliki 100 buah SBT pada 2012 hampir separuh sudah dapat dicapai.

Beliau berkata, terdapat beberapa buah lagi sekolah cemerlang yang mungkin diisytiharkan sebagai SBT tanpa perlu menunggu kohort seterusnya jika syarat-syarat yang ditetapkan dapat dipenuhi.

“Saya telah beritahu kepada Ketua Pengarah Pelajaran (Datuk Abd. Ghafar Mahmud) kalau ada kalangan sekolah cemerlang tapi kurang satu dua perkara (syarat SBT) dan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat, sekolah itu layak kita isytihar sebagai SBT,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Pengiktirafan SBT Kohort Dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berbesar hati kerana 20 SBT dalam Kohort Pertama berjaya mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang dan pada masa sama meraih beberapa kejayaan dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.

Antaranya, kata beliau, Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang mendapat tempat pertama dalam acara Car Sprint Triathlon Antarabangsa OSIM Singapura dalam kategori bawah 13 tahun.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur pula meraih tempat pertama dan kedua dalam acara renang, Kumpulan Umur SEA di Filipina.

“Sementara itu, Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban memenangi Anugerah Knock Out, mendapat tempat ketiga dalam Pembentangan Lisan dan mendapat tempat ketujuh terbaik daripada 25 negara dalam kejohanan Dunia Formula 1 In School,” katanya.

Di samping meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, tambah Muhyiddin, SBT Kohort Pertama turut berperanan penting dalam merapatkan jurang pencapaian antara sekolah melalui program sekolah angkat.

Beliau berkata, salah satu contoh terbaik adalah Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah di Melaka yang menjadikan Sekolah Menengah Agama (SMA) Tahfiz Cenderah, Jasin, sebagai sekolah angkat.

Katanya, melalui Program Peningkatan Prestasi Matematik, sekolah berkenaan membantu sekolah angkatnya meningkatkan peratusan pelajar yang memperoleh A bagi mata pelajaran berkenaan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 iaitu daripada 39.5 peratus pada 2009 kepada 71.77 peratus.

“Gred Purata SMA Tahfiz Cenderah dalam PMR juga meningkat daripada 2.3 pada 2009 kepada 1.72 pada 2010.

“Ini adalah satu lonjakan yang amat ketara dan wajar diberikan pujian,” tegasnya.

0 comments: