Pages

Friday, June 1, 2007

Markah bonus bantu masuk IPTA

BAHAGIAN Sekolah, Kementerian Pelajaran, memperkenalkan markah bonus dalam penilaian kokurikulum untuk pengiraan 10 peratus markah merit kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai sesi pengambilan 2007/2008.
Pengarahnya, Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata markah bonus berkenaan diberi sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang pelajar dalam bidang kokurikulum dan kemasyarakatan yang diusahakan sendiri.
Katanya, bonus memperuntukkan maksimum 10 markah itu merangkumi sebarang kegiatan yang memberi perkhidmatan kepada sekolah seperti jawatan kepimpinan seperti ketua murid dan pengawas perpustakaan.
Selain itu, beliau berkata, ia juga meliputi anugerah atau pengiktirafan diterima daripada kementerian dan agensi kerajaan yang diiktiraf Bahagian Sekolah atau Kementerian Pelajaran hasil sumbangan, penyertaan dan perkhidmatan pelajar.

“Namun berdasarkan Memorandum Kabinet 23 November 2005, Perkara 5: Pemantapan Hala Tuju - Aspek Ganjaran dan Dendaan, mulai tahun lalu Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan penilaian markah kokurikulum yang lebih sistematik bertujuan memberi pemberatan nilai markah 10 peratus kepada aktiviti kokurikulum diceburi.
“Pengiraan ini bagi calon yang memohon kemasukan program diploma dan ijazah sarjana muda di IPTA mulai sesi akademik Jun 2007/2008. Oleh itu mulai tahun ini, pencapaian akademik pelajar hanya membawa pemberatan markah 90 peratus, manakala baki markah 10 peratus lagi dikira daripada aktiviti kokurikulum.
Noor Rezan berkata, penilaian aktiviti itu adalah berasaskan sekolah meliputi aspek kehadiran yang membawa 50 peratus markah, pembabitan (20 peratus), pencapaian (20 peratus) dan jawatan disandang (10 peratus).
Bagi aspek kehadiran, katanya, peratusan tertinggi diperuntuk bertujuan menggalakkan pelajar hadir dan mengikuti kegiatan dirancangkan pihak sekolah.
Katanya, bilangan kehadiran itu dikira berdasarkan penetapan kedatangan minimum 42 kali setahun dengan pecahan 18 kali untuk pasukan badan beruniform, kelab/persatuan (12 kali) dan sukan/permainan (12 kali).

No comments: